THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, June 10, 2009

Berani Gagal

Ujian seseorang itu adalah perjuangan yang
ia perjuangi...
Ketabahan yang ditunjukan saban hari
Bagaimana i berdiri teguh dan menahani
Hentaman dan pukulan yang takdir menghujani
Pengecut mampu tersenyum... ..
bila tiada yang harus ditakutkan
Ketika tiada kemajuan yang menghalang
Namun lelaki sejati jua....
yang sanggup bersorakan
Manakala orang lain ....
yang berlagak sebagai bintang
Bukan kemenangan itu perkara utama
Tetapi perjuangan yang ....
seseorang saudara memperjuangi
Orang yang, bila ia tersepit dan terpaksa
Masih mampu berdiri tegak dan menahani
Pukulan-pukulan takdir....
dengan segala bangga
Berdarah pucat dan benjol,
Dialah orang yang akan.....
menang di akhirnya.
Kerana dialah orang yang berani gagal

Bersyukur Apa yang Ada

Mata saya tidak berkedip memandang ke wajah anak sulung kesayangan. Saya menoleh pula ke almari cermin di hadapannya. Menggeleng kepala saya seketika.

"Muka Kak Long dah putihkan Ummi," kata Kak long melihat saya terpaku memandangnya dari tadi.

"Kenapa pakai bedak banyak sangat ni, sayang?" Saya melemparkan pertanyaan. Hairan dengan tingkahnya malam ini. Berbedak hingga sampai ke baju dan seluar. Putih bertompok sana sini.

"Kak Long nak putih macam Kak Ngah," Kak Long menjawab sambil mula menunjukkan muka masam. Belas pula saya melihatnya.

Baru saya teringat kata-kata Kak Imah yang berkunjung ke rumah siang tadi. Rupa-rupanya Kak Long terdengar perbualan kami.

"Husna lain sikit kulitnya dari Najwa ye, Ina." Kak Imah berkata memandang ke arah anak-anak yang sedang leka bermain di halaman rumah.

"Seorang ikut ayah, seorang ikut Umminya," saya menjawab dengan senyum kelat. Bimbang Kak Long mendengar. Pasti dia terasa hati nanti. Sensitif sungguh dia bila orang menyebut warna kulitnya.




Warna Kulit

Betapa dunia hari ini, seorang anak kecil juga sudah tahu menilai kecantikan rupa. Baginya putih itu cantik pada pandangan mata. Fikiran yang dicorak oleh penilaian manusia dewasa kaum wanita terutamanya. Semakin putih, semakin banyak mata yang menoleh. Ironinya, di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) ini, ramai wanita terutama golongan remaja kulit putih yang baru menginjak dewasa berfikiran sebaliknya. Bagi mereka, berkulit gelap dan hitam lebih seksi dan memikat hati. Justeru mereka berlumba-lumba melakukan rawatan wajah dan seluruh tubuh yang dinamakan sunbed untuk menukar warna kulit dari putih ke warna coklat dan agak gelap. Dilaporkan, lebih dari 25% remaja dan golongan muda di UK menunjukkan gejala obses terhadap rawatan berisiko ini.

Saya pernah menonton satu rancangan bual bicara, Trisha Goddard Show yang banyak mengketengahkan masalah masyarakat termasuk remaja yang terlalu obses dengan kecantikan diri. Remaja jemputannya pada rancangan tersebut membelanjakan hampir GBP2000 sebulan hanya untuk rawatan kulit dan tubuh badan. Jumlah ini termasuk kos melakukan rawatan sunbed di atas. Baginya, rawatan tersebut menjadikannya kelihatan lebih menarik, lebih sihat dan seterusnya akan mendapat ketenangan diri.

Saya bimbang dan kasihan melihat wanita-wanita yang terlalu mementingkan kecantikan rupa seperti ini. Bimbang kerana jika mereka seorang selebriti, pengaruh yang dibawa bukan sedikit impaknya. Ramai wanita kini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola dalam menentukan gaya dan penampilan mereka. Kasihan, lantaran kecantikan yang mereka tonjolkan adalah cantik palsu yang hanya membawa kepada kemurkaan Allah SWT.

Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit' ingin sentiasa cantik ini, apa yang telah dimiliki bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang tidak kena dengan kemahuan jiwa. Mereka kurang yakin dengan penampilan biasa-biasa. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka berlumba-lumba melakukan rawatan mencantikkan tubuh dan rupa. Cuma bezanya, yang putih ingin lebih gelap dan gelap pula mengimpikan kulit putih menawan. Cetusan keinginan yang sama walau berlainan warna dan rupa.

Mensyukuri Kesempurnaan

" Eee..tengok muka orang tu Ummi, sebelah mukanya tak ada," Kak Ngah tiba-tiba menjerit. Mungkin terkejut dengan gambar yang dilihatnya di kaca televisyen. Saya dan suami saling berbalas pandang. Kak Long yang asyik menggunakan komputer juga menerpa ke ruang depan mendengar jeritan Kak Ngah.

Ketika itu kami sedang menonton rancangan bercorak dokumentari, The Extraordinary People yang memaparkan wajah dan rupa tubuh manusia yang luar biasa dari yang biasa wujud di dunia ini. Dan kali ini, wajah lelaki di hadapan kami rongak sebelah dengan mata kanan yang lebih kecil, tanpa hidung dan mulut yang rebeh sebahagian besarnya. Wajahnya memang cukup menggerunkan bagi anak kecil yang melihat. Lelaki itu berasal dari kawasan pedalaman negara China. Kedudukan kampung halamannya yang jauh terpencil menyebabkan dia hidup beberapa tahun dengan wajah yang rosak teruk selepas diserang seekor beruang hutan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital di tengah kota raya untuk menerima rawatan membaik pulih wajah dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital. Saya, suami dan anak-anak melihat dengan rasa penuh keinsafan.

"Sebab itu kita yang ada wajah yang sempurna ini perlu selalu bersyukur. Allah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Semua sama sahaja. Ada mata, hidung, mulut, telinga dan anggota lainnya. Jadi kena selalu ucap Alhamdulillah, " kata suami saya menasihatkan anak-anak sebaik selesai menonton.

"Tak boleh banyak komen tentang warna kulit lagi," saya mencelah dengan nada bergurau. Mata saya memandang Kak Long yang hanya tersengih malu.

"Kulit Kak Long putih juga sebab Kak Long ikut Ummi. Cuba Kak Long tengok, samakan?" Saya menambah lalu memegang tangannya di atas tangan saya. Kami berdua memang memiliki warna kulit yang sama. Bibir Kak Long mula mengorak senyum biasa.

"Tapi kulit Kak Ngah, Khalil, Solehah dan ayah lebih putih dari kita," bidas Kak Long masih belum puas hati.

"Putih lebih sikit je. Tapi muka Kak Long muka ayah, tahu tak. Kak Ngah pula lebih hampir dengan muka Ummi. Itu tandanya baik Kak Long mahu pun Kak Ngah, kedua-duanya anak-anak Ummi dan ayah yang tiada bezanya," kata saya lagi sambil menjeling manja kepada suami. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil mendengar celoteh Ummi mereka.



Mengubah Ciptaan

Tiada yang kurang dari ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Tinggal lagi manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan segala kurniaannya. Selagi belum menutup mata, selama itulah nafsu sentiasa meniupkan keinginan untuk meraih perhatian manusia. Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit hati' seumpama ini, merasakan kulit yang mulus, masih belum mampu membahagiakan kerana warnanya yang tidak seputih salju. Lalu ribuan ringgit dibelanjakan. Berbagai rawatan kecantikan dicuba tanpa mengira halal dan haram menurut syari'at agama. Semua itu dilakukan hanya untuk mencapai impian memiliki warna kulit idaman hati agar lebih menawan pada pandangan manusia lainnya. Seolah-olah kejadian Allah menjadikan warna kulit yang gelap tidak tepat dan sangat hodoh pada pandangan mata.

Soal mengubah warna kulit bukan soal ranting yang boleh dikesampingkan dari diperkatakan oleh golongan agamawan. Ini kerana ia melibatkan persoalan akidah, lantaran kejahilan diri. Allah SWT menghebahkan tipu daya syaitan menerusi kalam-Nya yang bermaksud:

"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.' Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata." (Surah an-Nisa': ayat 117 - 119)

Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa Islam mengharuskan rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya seperti menggunakan ubat-ubatan untuk membuang jeragat atau jerawat yang merosakkan kulit wajah dan seumpamanya dan bukan dengan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit.

Bersyukur Apa yang Ada

Sememangnya wanita sangat teruji dengan warna kulit kurniaan Ilahi. Hanya mereka yang bersyukur sahaja mampu menerima dengan senang hati. Justeru, hati dan minda perlu sentiasa disuburkan dengan sifat redha terhadap apa-apa yang dimiliki hari ini. Gembira terpancar indah menyerikan seri rupa, tanda seseorang itu mensyukuri segala nikmat yang diterimanya. Kesyukuran yang akan lebih melorongkannya untuk terus beribadah, mengabdikan diri sebagai hamba kepada Tuhan yang Esa. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." (Surah Ibrahim: ayat 7)

Akhirnya, bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar terlafaz oleh lisan, tetapi hidupkan syukur dengan meningkatkan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah. Sedarilah, sesungguhnya Dia telah, sedang dan selalu memberi lebih banyak dari apa yang telah dan mampu kita berikan kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Dia (Allah) telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi sangat mengingkari (kufur nikmat)." (Surah Ibrahim: ayat 34)

Mahalnya Perkahwinan Bila Ada Ketenangan



“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya
pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya
ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku
syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.

Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya,
apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang
wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita
solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”

Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam
rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan
yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau
perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)

Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan
jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang.
Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah
Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula
yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah
tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam
pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah.
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud
firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan
al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang
yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.

Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati
atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang
hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”

“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita
miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi
sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan
yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran
di akhirat.

Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku,
sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)

Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak
mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal
memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi
di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek
kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik
dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.

Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama.
Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang
baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil
dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula
kehidupan.

“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,”
katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya,
dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.

Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau
berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon
pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas
pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,”
katanya.

Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan
rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya
ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama
dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)

63 Petua Bahagia

TANPA sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan..

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan bercinta atau mereka yang melayari rumah tangga.

1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/ berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49.. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
(a) Mental, pendidikan dan ilmu
(b) Emosi
(c) Fizikal dan ekonomi
(d) Sosial
(e) Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:
(a) Pendapat atau pandangan
(b) Hobi
(c) Kegemaran
(d) Makanan
(e) Cita rasa
(f) Warna pilihan dan pelbagai
56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t.

KAABAH yang enggan bergerak




Rasa nak menangis bila membaca. Rindu rasanya nak pergi lagi ke Tanah Suci. Semoga Allah murahkan rezeki dan semoga dapat tawaf Kaabah lagi..

Tuan Guru Haji Mohd Baqi Osman, tok guru dah mula kuliah.. Beliau menceritakan tentang peristiwa yang bakal berlaku di akhirat kelak. Tentang syurga, tentang neraka. Para jemaah masing-masing diam, tunduk dan insaf.

Salah satu cerita menarik yang disampaikan oleh tok guru iaitu berkaitan dengan titian As Sirat. Jambatan yang merentangi neraka menuju ke syurga itu bersifat fleksibel. Ia boleh membesar, mengecil, memendek dan memanjang mengikut kumpulan yang akan melintasinya.

Jika orang beriman, pastilah ia akan melebar dan memendek. Manakala bagi orang kafir, ia akan mengecil dan memanjang. Antara yang akan turut berarak menuju ke syurga ialah kaabah. Malaikat datang membawa perintah Allah kepada kaabah yang dihias indah pada hari itu supaya bergerak
menuju ke syurga..

Yang menghairankan, biarpun kaabah tahu itu perintah Allah, namun ia enggan bergerak. Lalu malaikat bertanya kenapa enggan bergerak ke syurga.. Kaabah menjawab bahawa ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan jika diiringi oleh semua manusia yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Lalu malaikat mengumpulkan semua yang pernah tawaf untuk mengiringi kaabah ke syurga. Kaabah terus mendiamkan diri tak mahu bergerak. Malaikat bertanya lagi kenapa tak mahu bergerak.Kaabah menjawab, ada lagi beberapa orang yang tidak hadir...

Apabila diperiksa, rupa-rupanya orang-orang berkenaan telah dilempar ke dalam neraka kerana kesalahan yang pernah mereka lakukan di dunia.

Malaikat maklumkan bahawa orang berkenaan adalah orang-orang yang berdosa dan perlu disiksa di dalam neraka.

Kaabah berkata, ia tidak peduli orang itu berdosa atau tidak. Yang penting ia tidak akan bergerak ke syurga melainkan diiringi oleh semua orang yang pernah tawaf di sekelilingnya.

Malaikat mengadu kepada Allah tentang hal yang berlaku.... Allah yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani terus mengisytiharkan bahawa orang-orang itu telah diampunkan dosa mereka. Mereka lantas di bawa keluar daripada neraka dan mengiringi kaabah menuju ke syurga....

Betapa nikmat dan beruntung nya.... bersyukur sekiranya dapat mengerjakan Haji dan Umrah....

Subhanallah

Allahuakbar

Betapa pengampun dan penyayangnya Allah kepada kita semua hamba-Nya
Keampunan Allah tidak mengenal siapa..... semua yang layak akan dapat pengampunan- NYA.... Semoga ALLAh mengampunkan kita sem
ua sama ada yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia. Amiin.

Sayangilah Tuhan

Di dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus-usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, ada otak, ada saraf, ada saluran darah dan lain-lain. Tersimpan juga dalam tubuh kita berbagai-bagai maklumat aqliah seperti ilmu alam, ilmu matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termasuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tapi berbagai khazanah ada di dalamnya.

Tapi yang hebat lagi dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombang nya bertukar-tukar dengan rupa yang begitu pantas.

Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang pula rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Tidak saja itu, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, rasa selamat, rasaboleh serba serbi.

Tiba-tiba dilanda pula ribut rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tak selamat, rasa serba tak boleh. Di sudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri, jatuhkan orang dan macam-macam.

Namum janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakat itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya oleh rasa-rasa sayang. Sayang ibu bapa, sayang isteri, suami. Sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran dan siapa-siapa yang baik-baik. Sayang kucing, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia.

Seribu satu macam sayang berombak-rombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, peramah, bersangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya.

Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling MAHAL dari semua iaitu RASA BERTUHAN . Rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktu susah. Ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini. Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal system super power ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja. Sebab itulah Tuhan yang Yang Agung ini telah memfirmankan bahawa: "Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian"

Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan sesempurna ciptaan. Yakni dibekalkan benih taqwa dalam lautan hati dan roh mereka. Yang mana daripada keseluruhan kecintaan-kecintaan yang disebutkan tadi, mereka dapat tundukkan semuanya kepada cintakan Tuhan yang Agung. Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta inilah yang direbutkan. Sedangkan cinta Allah dibiarkan.

Ada rasa bertuhan, sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan dan bercakap, bertanya, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta.

Perasaan-perasaan ini kalau disuburkan, dibina, dibaja, diarahkan, sungguh mampu akan menjadikan manusia berhati malaikat, yakni mengabdikan seluruh hidup, masa dan jiwa raganya menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan disetiap detikan hati dan jantungnya. Hidup mati ditujukan kepada Allah semata-mata.

Inilah yang Allah maksudkan:


"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku." (Adz Dzaariyaat : 56)

Saudara saudari,
Siapa kenal dirinya nescaya dia kenal Tuhannya. Renunglah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab semua kepunyaan kita itu bukan kita yang mengawalkan, mentadbir, mengurusnya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50 dan 60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya diluar kawalan kita. Selamat tidaknya diri kita bukan kita yang menentukan. Bila jantung akan berhenti berdegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya!

Tapi sayang ramai saintis yang menyelidik rahsia penciptaan manusia ini jadi tidak percaya Tuhan bahkan anti Tuhan! Apa mereka tidak perasankan bahawa seluruh keajaiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh siapakah memula dan mengakhirkan itu berlaku? Sedangkan empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya ialah oleh Tuhan?

Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dll. Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta tapi marah bila dikaitkan dengan banyak-banyak itu. Sebab cinta itu murah. Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa-rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu-waktu susah mereka akan memanggil Tuhan dengan kata-kata oh my god! Tapi sayang perasaan terhadap Tuhan itu tidak dibaja, tidak disuburkan. Sedang rasa cintakan girlfriend itu begitu dipupuk. Sayang anak itu dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan. Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananyalah! Walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Dia pernah ada dan pernah tiada.

Sedangkan Tuhan Dialah nafas kita, Dialah makanan kita, rezeki kita, Dialah bank kita, Dialah daya ingatan kita, Dialah manusianya kita, Dialah tidur lena kita, Dialah senyum tangis kita, Dialah nikah kahwin kita, Dialah kaya miskin kita, Dialah sakit sihat kita, tua muda kita, Dialah baik jahatnya kita, Dialah pandai bodohnya kita, Dialah hidup matinya kita, Dialah pandangan kita, penglihatan kita, perasaan beranak tidaknya kita, Dialah accidentnya tidak kita, Dialah orang suka tidaknya kita, Dialah mulia dan hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang dan sesuatu kamu pun di tangan Tuhanlah juga. Lihat firmannya Ali Imran ayat 26.

"Sesungguhnya Tuhan adalah segala-galanya. "

Tuhan sangat sayang pada kita manusia dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Kita boleh berkawan dengan-Nya bahkan Dia adalah kawan yang paling setia. Siapa yang kata makhluk manusia tidak boleh berkawan dengan Allah pencipta adalah satu pembohongan.

Sebab Rasulullah SAW ketika akan wafat ada bersabda:

"Aku akan pergi kepada kawan yang Tinggi (Allah)"

Tiada cacat celanya Allah kalau kita jadi kawan Dia. Bukankah setiap saat Dia yang menjaga kita, memberi rezeki dan segalanya? Dia yang menguruskan kita, menolong kita, mengajar, membela, melindung, menjaga, memastikan waktu-waktu kita samaada untuk sihat, sakit, hidup dan mati. Allah tidak hina kerana bersama kita kerana Dia Maha Sempurna. Tiada apa yang boleh mencacat-celakan kesempurnaan- Nya. Dia sebagai kawan setia, prinsip hidup dan tempat rujuk.

Bukankan setiap kali kita sembahyang kita berkata pada-Nya

"Akan Engkaulah kami sembah
Akan Engkaulah kami meminta tolong"

Lagi yang selalu kita ungkapkan kehadrat Allah waktu sembahyang ialah "Ku sembahkan puja dan puji kepada Zat yang menghadiahkan alam ini kepadaku"

Ruginya kita kalau tidak mempedulikan Tuhan. Ruginya kita kalau tidak mengambil Tuhan jadi kawan yang setia. Malangnya kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang pada-Nya. Sedangkan kesayang-kesayangan kita yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak yang Tuhan lakukan untuk kita. Akhirnya ketahuilah bahawa kita ada Tuhan. Dia adalah segala-galanya. Oleh itu sayangilah Tuhan.

Amalkan Cara Hidup Sihat

Kunci untuk sihat sepanjang hayat

Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan cara hidup sihat:Kunci untuk kehidupan yang sihat adalah mengamalkan cara hidup sihat:

  • Makan secara sihat
  • Tidak merokok
  • Lakukan aktiviti fizikal
  • Belajar menangani stres

Faedah cara hidup sihat:

  • Meningkatkan status kesihatan anda
  • Mengurangkan risiko anda mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, serangan jantung, strok (angin ahmar) dan tekanan darah tinggi.
  • Membuat anda kelihatan dan berasa lebih baik
  • Membolehkan anda memiliki stamina dan keupayaan lebih untuk menikmati kehidupan.

Makan Secara Sihat

  • Nikmati pelbagai jenis makanan
  • Makan mengikut waktu yang teratur (Tiga waktu makan utama – sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam)
  • Pilihlah makanan harian berasaskan Piramid Makanan.
  • Pilih makanan yang rendah gula, garam dan lemak.

Contoh 1 sajian::

Bijirin, produk bijirin dan ubi

  • ½ cawan nasi (putih atau perang)
  • ½ cawan mihun/mi/pasta/ lain-lain jenis mi (direndam)
  • 1½ keping capati
  • ½ cawan keledek/ubi kayu/keladi

Sayur-sayuran

Buah-buahan

  • ½ cawan sayur hijau tua bersama batangnya (dimasak)
  • ½ cawan sayur buah/berakar (dimasak)
  • ½ biji jambu berukuran sederhana
  • 1 hiris betik/nanas

Susu, dadih dan keju

Ikan, ayam dan daging

  • 1 gelas susu
  • 1 cawan dadih
  • 1 keping keju
  • 1 ketul paha ayam saiz sederhana
  • 1 ketul paha ayam saiz sederhana
  • 2 ketul daging tanpa lemak berukuran kotak mancis
  • 5 sudu besar ikan bilis

Tidak Merokok

Merokok meningkatkan risiko sehingga 10 kali ganda, mendapat lebih daripada 40 jenis penyakit serius seperti kanser paru-paru, emfisima, penyakit jantung dan angina ahmar. Merokok boleh menjejaskan hampir semua organ dan tisu di dalam badan. Asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia iaitu 200 beracun dan 63 boleh menyebabkan kanser (karsinogenik) .

Kekal sihat! Gunakan kaedah yang betul untuk berhenti merokok:

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
  • Yakinkan diri
  • Buat nota peringatan
  • Katakan pada diri anda ‘Aku bukan perokok’
  • Tumpukan pada hari ini
  • Sentiasa berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Lawan keinginan untuk merokok
  • Gunakan Terapi Gantian Nikotin (NRT)
  • Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok:

Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

    • Melengahkan-lengah
    • Minum banyak air
    • Menarik nafas panjang
    • Membuat sesuatu
    • Menjauhkan diri dari tempat orang merokok
    • Mengunyah sesuatu
    • Membasuh tangan
    • Mandi dengan kerap
    • Melakukan senaman regangan
    • Memohon doa



Lakukan Aktiviti Fizikal

Aktiviti fizikal merangkumi semua pergerakan badan yang menggunakan tenaga dalam kehidupan seharian seperti bekerja, berekreasi, bersenam dan bersukan.

Hidup tidak aktif boleh mengakibatkan kegemukan dan meningkatkan risiko mendapat penyakit seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan sakit sendi.

Lakukan aktiviti fizikal

  • Lakukan aktiviti fizikal ringan hingga sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari; tempoh aktiviti ini boleh dijumlahkan sepanjang hari (sekurang-kurangnya 10 minit setiap kali)
  • Pilih aktiviti fizikal yang sesuai dengan anda

Contoh aktiviti fizikal yang boleh dilakukan setiap hari:

AKTIVITI RINGAN
60 minit setiap hari

AKTIVITI SEDERHANA
30 minit setiap hari

  • Berjalan kaki
  • Aktiviti regangan
  • Aktiviti berkebun yang ringan
  • Berjalan laju
  • Berbasikal
  • Berenang
  • Menari
  • Lompat tali
  • Aerobik
  • Berlari-lari anak
  • Turun naik tangga

Bersenam untuk kesihatan jantung. Gunaka FITT sebagai panduan.

F

Frequency : (Kekerapan)

3 – 5 kali seminggu

I

Intensity (Effort) : (Kehebatan)

Sehingga anda berpeluh dan dapat menarik nafas panjang dengan selesa.

T

Time : (Masa)

Sekurang-kurangnya 20 minit setiap kali (tidak termasuk tempoh memanas dan menyejukkan badan.

T

Type : (Jenis)

Aerobik, bersukan Contoh: bola sepak, bola jaring, badminton, lompat tali, berbasikal.


Tangani Stres

Kemarahan adalah satu masalah utama emosi akibat stres. Stres dialami oleh semua orang sama ada di rumah, sekolah atau tempat kerja. Stres, apabila keterlaluan, berpanjangan dan anda tidak ada kemampuan daya tindak akan membawa kepada kemarahan.

Apa yang harus dilakukan apabila anda marah:

  • Menyedari yang anda sedang marah… Katakan: ‘Saya sedang marah!’
  • Bertenang... kira hingga sepuluh, tarik nafas panjang dan mengucap
  • Kenal pasti kenapa anda marah
  • Cuba dengar penjelasan orang lain
  • Anda perlu beredar jika tidak dapat mengawal kemarahan
  • Berbincang dengan orang lain jika tidak mampu mengendalikan kemarahan
  • Membiasakan diri memaafkan – menerima kenyataan bahawa manusia juga melakukan kesalahan

Cara mengurangkan kemungkinan untuk marah:

  • Berfikir secara positif
  • Jangan salahkan orang lain apabila berlaku kesilapan
  • Belajar menyukai diri sendiri
  • Belajar bertenang
  • Adakan hobi
  • Luangkan masa untuk keluarga, kerja dan beriadah
  • Dapatkan tidur yang cukup
  • Dapatkan teman untuk meluahkan masalah
  • Bersifat tegas/asertif
  • Tetapkan matlamat realistik untuk diri anda

MEMISKINKAN DIRI

Dunia ini Allah punya segala-segala yang ada di dalam dunia ini pun Allah punya. Bahkan kita manusia ini pun Allah yang punya. Justeru itu pada hakikatnya, kita tidak memiliki apa-apa sebaliknya kita dimiliki. Kalaupun kita ada mempunyai harta kekayaan, wang ringgit yang menimbun-nimbun, kekayaan itu bukan kita punya. Itu milik Tuhan. Kekayaan itu termasuk diri kite sendiri, ia juga adalah milik Tuhan.

Kita sebagai manusia dalam keadaan apa sekalipun adalah miskin. Kita bila-bila pun miskin. Kite tetap miskin. Kalau kita kaya dan mempunyai harta, kita hanya tukang jaga kekayaan Tuhan. Kita hanya tukang tadbir kekayaan Tuhan. Kite boleh ambil sekadar yang kita perlu dari kekayaan kita tetapi yang selebihnya mesti digunakan untuk manusia lain yang memerlukan dan untuk masyarakat.

Allah jadikan harta dan kekayaan itu untuk manusia seluruhnya, untuk keperluan semua hamba-hambanya. Segala rezeki dan kekayaan yang Allah kurniakan itu cukup untuk hamba-hambaNya di muka bumi ini. Hanya rezeki, harta dan kekayaan itu tidak diberi sama banyak dan sama rata. Ada yang dapat lebih. Ada yang dapat kurang. Supaya ada manusia yang kaya dan ada manusia yang miskin.

Allah jadikan miskin kaya bukan secara kebetulan. Kalau dalam masyarakat manusia semuanya miskin, maka tidak akan ada penggerak ekonomi, tidak akan ada pencetus industri, perniagaan dan perdagangan. Tidak akan ada pembela bagi orang yang fakir dan miskin. Ekonomi masyarakat tidak akan ujud dan berkembang.

Manusia hanya akan sibuk mencari makanan sehari-hari untuk diri dan keluarga masing-masing. Semua manusia akan hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak akan berlaku interaksi, usahasama, kerjasama, khidmat dan saling perlu memerlukan di antara satu sama lain. Tidak akan ada kemajuan. Tidak akan terbangun masyarakat, tamadun dan peradaban. Semua manusia akan hidup macam orang asli atau kaum aborigin yang semuanya samasama miskin.

Sebaliknya kalau dalam masyarakat manusia semuanya kaya-kaya belaka, maka kekayaan itu tidak ada apa-apa makna. Orang kaya akan menjadi susah juga. Siapa yang akan menanam padi. Siapa yang akan ke laut menangkap ikan. Siapa yang akan menternak lembu, kambing dan ayam. Siapa yang akan menanam sayur dan pokok buah-buahan. Bukankah ini semua kerja orang miskin. Apa yang orang kaya hendak makan. Takkan hendak makan duit, emas, perak, intan dan berlian. Siapa yang akan bina rumah, buat jalan, angkut sampah, potong rumput, menjadi pekerja bekalan air dan elektrik dan beribu-ribu macam khidmat lagi.

Kalau hendak gerakkan industri dan ekonomi pula siapa yang akan jadi buruh. Siapa yang akan jadi pekerja. Siapa yang akan jadi penyelia. Akhirnya siapa yang akan jadi pembeli atau pengguna bagi barangan dan khidmat yang dikeluarkan. Adanya miskin dan kaya itu adalah rahmat dari Tuhan supaya manusia boleh mencipta kehidupan, membina masyarakat dan menggerakkan tamadun. Supaya manusia kenal-mengenal, bantu-membantu, saling perlu-memerlukan dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Tanpa adanya miskin dan kaya di kalangan manusia, maka tidak akan ada interaksi. Tidak akan ada masyarakat.

Namun begitu, rezeki dan kekayaan yang Allah limpahkan ke bumi ini adalah untuk semua manusia walaupun pembahagiannya tidak sama banyak dan tidak sama rata. Justeru itu apabila ada orang atau pihak yang tidak menjaga dan tidak mentadbir harta dan kekayaan yang Allah amanahkan kepada mereka dengan baik, maka akan berlakulah bencana. Apabila orang kaya tidak menyama ratakan harta kekayaan mereka kepada fakir miskin dan yang memerlukan, maka akan datanglah malapetaka. Apabila orang kaya mula merasakan kekayaan mereka adalah hak mereka sendiri dan bukan hak Allah yang perlu diagih-agihkan, maka akan turunlah laknat dan bala.

Rezeki, harta dan kekayaan Allah itu adalah untuk semua manusia dan masyarakat bukan untuk manusia yang tertentu sahaja. la mesti disama ratakan. Kalau tidak akan timbul kelas dan kasta kaya miskin dalam masyarakat yang satu sama lain benci-membenci, curiga-mencurigai, hina-menghina dan dengkimendengki. Masyarakat akan menjadi kucar- kacir, kacau-bilau, bergaduh dan berkelahi. Akan belaku berbagai bentuk jenayah dan penindasan. Hilang ukhwah dan kasih sayang. Manusia tidak kira kaya atau miskin akan hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.

Oleh itu, semua manusia terutama yang kaya, perlu memiskinkan diri. Memiskinkan diri ini bukan bererti kita mesti jatuh miskin. Memiskin diri ialah menyedari dan merasakan bahawa kita sebagai manusia, hakikatnya adalah miskin dan tidak punyai apaapa. Kesemua kekayaan adalah hak Allah semata-mata. Kalau pun kita kaya dan berharta, kita tahu dan kita sedar bahawa kita sebenarnya miskin. Kekayaan yang ada itu adalah amanah dari Allah yang wajib kita jaga dan tadbirkan mengikut kehendak-Nya. Kita boleh ambil setakat mana yang perlu sahaja dan menggunakan yang selebihnya untuk golongan fakir miskin dan masyarakat. Memiskin diri ertinya merasakan kekayaan kita bukanlah hak kita tetapi hak Allah untuk diagih-agihkan kepada
golongan miskin dan masyarakat.

Inilah sebenarnya erti zuhud. Zuhud bukan bermaksud tidak kaya atau tidak berharta. Zuhud ertinya tidak merasakan kekayaan dan harta ini kita punya. Zuhud ertinya merasakan harta dan kekayaan itu kepunyaan Allah yang perlu diagihkan kepada yang berhak. Zuhud ertinya mempunyai kekayaan di tangan tapi tidak di hati. Orang yang zuhud ialah orang yang telah memiskin dirinya hingga mudah baginya menggunakan kekayaannya untuk masyarakat dan golongan yang memerlukan.