Wednesday, June 10, 2009
Berani Gagal
Posted by MeMoRy n MoMeNt at 5:05 PM 0 comments
Labels: nukilan indah
Bersyukur Apa yang Ada
"Muka Kak Long dah putihkan Ummi," kata Kak long melihat saya terpaku memandangnya dari tadi.
"Kenapa pakai bedak banyak sangat ni, sayang?" Saya melemparkan pertanyaan. Hairan dengan tingkahnya malam ini. Berbedak hingga sampai ke baju dan seluar. Putih bertompok sana sini.
"Kak Long nak putih macam Kak Ngah," Kak Long menjawab sambil mula menunjukkan muka masam. Belas pula saya melihatnya.
Baru saya teringat kata-kata Kak Imah yang berkunjung ke rumah siang tadi. Rupa-rupanya Kak Long terdengar perbualan kami.
"Husna lain sikit kulitnya dari Najwa ye, Ina." Kak Imah berkata memandang ke arah anak-anak yang sedang leka bermain di halaman rumah.
"Seorang ikut ayah, seorang ikut Umminya," saya menjawab dengan senyum kelat. Bimbang Kak Long mendengar. Pasti dia terasa hati nanti. Sensitif sungguh dia bila orang menyebut warna kulitnya.
Warna Kulit
Betapa dunia hari ini, seorang anak kecil juga sudah tahu menilai kecantikan rupa. Baginya putih itu cantik pada pandangan mata. Fikiran yang dicorak oleh penilaian manusia dewasa kaum wanita terutamanya. Semakin putih, semakin banyak mata yang menoleh. Ironinya, di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) ini, ramai wanita terutama golongan remaja kulit putih yang baru menginjak dewasa berfikiran sebaliknya. Bagi mereka, berkulit gelap dan hitam lebih seksi dan memikat hati. Justeru mereka berlumba-lumba melakukan rawatan wajah dan seluruh tubuh yang dinamakan sunbed untuk menukar warna kulit dari putih ke warna coklat dan agak gelap. Dilaporkan, lebih dari 25% remaja dan golongan muda di UK menunjukkan gejala obses terhadap rawatan berisiko ini.
Saya pernah menonton satu rancangan bual bicara, Trisha Goddard Show yang banyak mengketengahkan masalah masyarakat termasuk remaja yang terlalu obses dengan kecantikan diri. Remaja jemputannya pada rancangan tersebut membelanjakan hampir GBP2000 sebulan hanya untuk rawatan kulit dan tubuh badan. Jumlah ini termasuk kos melakukan rawatan sunbed di atas. Baginya, rawatan tersebut menjadikannya kelihatan lebih menarik, lebih sihat dan seterusnya akan mendapat ketenangan diri.
Saya bimbang dan kasihan melihat wanita-wanita yang terlalu mementingkan kecantikan rupa seperti ini. Bimbang kerana jika mereka seorang selebriti, pengaruh yang dibawa bukan sedikit impaknya. Ramai wanita kini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola dalam menentukan gaya dan penampilan mereka. Kasihan, lantaran kecantikan yang mereka tonjolkan adalah cantik palsu yang hanya membawa kepada kemurkaan Allah SWT.
Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit' ingin sentiasa cantik ini, apa yang telah dimiliki bagaikan tidak mencukupi dan ada sahaja yang tidak kena dengan kemahuan jiwa. Mereka kurang yakin dengan penampilan biasa-biasa. Oleh kerana itu, ramai di kalangan mereka berlumba-lumba melakukan rawatan mencantikkan tubuh dan rupa. Cuma bezanya, yang putih ingin lebih gelap dan gelap pula mengimpikan kulit putih menawan. Cetusan keinginan yang sama walau berlainan warna dan rupa.
Mensyukuri Kesempurnaan
" Eee..tengok muka orang tu Ummi, sebelah mukanya tak ada," Kak Ngah tiba-tiba menjerit. Mungkin terkejut dengan gambar yang dilihatnya di kaca televisyen. Saya dan suami saling berbalas pandang. Kak Long yang asyik menggunakan komputer juga menerpa ke ruang depan mendengar jeritan Kak Ngah.
Ketika itu kami sedang menonton rancangan bercorak dokumentari, The Extraordinary People yang memaparkan wajah dan rupa tubuh manusia yang luar biasa dari yang biasa wujud di dunia ini. Dan kali ini, wajah lelaki di hadapan kami rongak sebelah dengan mata kanan yang lebih kecil, tanpa hidung dan mulut yang rebeh sebahagian besarnya. Wajahnya memang cukup menggerunkan bagi anak kecil yang melihat. Lelaki itu berasal dari kawasan pedalaman negara China. Kedudukan kampung halamannya yang jauh terpencil menyebabkan dia hidup beberapa tahun dengan wajah yang rosak teruk selepas diserang seekor beruang hutan. Dia kemudiannya dibawa ke hospital di tengah kota raya untuk menerima rawatan membaik pulih wajah dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital. Saya, suami dan anak-anak melihat dengan rasa penuh keinsafan.
"Sebab itu kita yang ada wajah yang sempurna ini perlu selalu bersyukur. Allah mencipta manusia sebagai sebaik-baik makhluk di muka bumi. Semua sama sahaja. Ada mata, hidung, mulut, telinga dan anggota lainnya. Jadi kena selalu ucap Alhamdulillah, " kata suami saya menasihatkan anak-anak sebaik selesai menonton.
"Tak boleh banyak komen tentang warna kulit lagi," saya mencelah dengan nada bergurau. Mata saya memandang Kak Long yang hanya tersengih malu.
"Kulit Kak Long putih juga sebab Kak Long ikut Ummi. Cuba Kak Long tengok, samakan?" Saya menambah lalu memegang tangannya di atas tangan saya. Kami berdua memang memiliki warna kulit yang sama. Bibir Kak Long mula mengorak senyum biasa.
"Tapi kulit Kak Ngah, Khalil, Solehah dan ayah lebih putih dari kita," bidas Kak Long masih belum puas hati.
"Putih lebih sikit je. Tapi muka Kak Long muka ayah, tahu tak. Kak Ngah pula lebih hampir dengan muka Ummi. Itu tandanya baik Kak Long mahu pun Kak Ngah, kedua-duanya anak-anak Ummi dan ayah yang tiada bezanya," kata saya lagi sambil menjeling manja kepada suami. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil mendengar celoteh Ummi mereka.
Mengubah Ciptaan
Tiada yang kurang dari ciptaan Allah yang Maha Berkuasa. Tinggal lagi manusia yang tidak pernah merasa cukup dengan segala kurniaannya. Selagi belum menutup mata, selama itulah nafsu sentiasa meniupkan keinginan untuk meraih perhatian manusia. Bagi wanita yang dihinggapi ‘penyakit hati' seumpama ini, merasakan kulit yang mulus, masih belum mampu membahagiakan kerana warnanya yang tidak seputih salju. Lalu ribuan ringgit dibelanjakan. Berbagai rawatan kecantikan dicuba tanpa mengira halal dan haram menurut syari'at agama. Semua itu dilakukan hanya untuk mencapai impian memiliki warna kulit idaman hati agar lebih menawan pada pandangan manusia lainnya. Seolah-olah kejadian Allah menjadikan warna kulit yang gelap tidak tepat dan sangat hodoh pada pandangan mata.
Soal mengubah warna kulit bukan soal ranting yang boleh dikesampingkan dari diperkatakan oleh golongan agamawan. Ini kerana ia melibatkan persoalan akidah, lantaran kejahilan diri. Allah SWT menghebahkan tipu daya syaitan menerusi kalam-Nya yang bermaksud:
"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.' Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata." (Surah an-Nisa': ayat 117 - 119)
Walaubagaimanapun, perlu difahami bahawa Islam mengharuskan rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya seperti menggunakan ubat-ubatan untuk membuang jeragat atau jerawat yang merosakkan kulit wajah dan seumpamanya dan bukan dengan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit.
Bersyukur Apa yang Ada
Sememangnya wanita sangat teruji dengan warna kulit kurniaan Ilahi. Hanya mereka yang bersyukur sahaja mampu menerima dengan senang hati. Justeru, hati dan minda perlu sentiasa disuburkan dengan sifat redha terhadap apa-apa yang dimiliki hari ini. Gembira terpancar indah menyerikan seri rupa, tanda seseorang itu mensyukuri segala nikmat yang diterimanya. Kesyukuran yang akan lebih melorongkannya untuk terus beribadah, mengabdikan diri sebagai hamba kepada Tuhan yang Esa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku tambahkan nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih." (Surah Ibrahim: ayat 7)
Akhirnya, bersyukurlah dengan kesyukuran yang bukan sekadar terlafaz oleh lisan, tetapi hidupkan syukur dengan meningkatkan rasa yakin, prasangka baik dan rasa terima kasih yang tidak berpenghujung kepada Allah. Sedarilah, sesungguhnya Dia telah, sedang dan selalu memberi lebih banyak dari apa yang telah dan mampu kita berikan kepada-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan Dia (Allah) telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim lagi sangat mengingkari (kufur nikmat)." (Surah Ibrahim: ayat 34)
Posted by MeMoRy n MoMeNt at 4:56 PM 0 comments
Labels: renungan
Mahalnya Perkahwinan Bila Ada Ketenangan

“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya
pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya
ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku
syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.
Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya,
apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang
wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita
solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”
Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam
rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan
yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau
perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)
Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan
jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang.
Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah
Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.
Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula
yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah
tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam
pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah.
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud
firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan
al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang
yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.
Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati
atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang
hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”
“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita
miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi
sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan
yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran
di akhirat.
Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku,
sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)
Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak
mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal
memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi
di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek
kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik
dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.
Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama.
Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang
baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil
dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula
kehidupan.
“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,”
katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya,
dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.
Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau
berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon
pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas
pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,”
katanya.
Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan
rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya
ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.
"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama
dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)
Posted by MeMoRy n MoMeNt at 4:45 PM 0 comments
Labels: motivasi
63 Petua Bahagia
TANPA sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan..
Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.
Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.
Perunding motivasi dan keluarga, Datuk Dr Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan bercinta atau mereka yang melayari rumah tangga.
1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka - boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi - tegur/perubahan/ berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku - sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49.. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat - bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:
(a) Mental, pendidikan dan ilmu
(b) Emosi
(c) Fizikal dan ekonomi
(d) Sosial
(e) Spiritual
52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:
(a) Pendapat atau pandangan
(b) Hobi
(c) Kegemaran
(d) Makanan
(e) Cita rasa
(f) Warna pilihan dan pelbagai
56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t.
Posted by MeMoRy n MoMeNt at 4:38 PM 0 comments
Labels: motivasi
