THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, October 15, 2009

MALU tapi MAHU

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!

Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.

Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.

Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.

Dalam proses itu Nurfaisah mula-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya. Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.

Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.

Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.

Wallahu’alam.

SURAT ADAM KEPADA HAWA

Hawa,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Adam,
teman yang kepinginkan dirimu semasa kesunyian di syurga dahulu. Kau asalnya dari tulang rusukku yang bengkok.Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupmu sentiasa inginkan bimbingan dariku.Namun begitu Hawa kasihku, kejadianmu dari tulang rusukku yang paling keras. Lebih keras dari kerak nasi....

Hawa, kau sinar hidupku. Penuh cahaya kebahagiaan. . namun hanya buat seketika, sebelum kau bosan dengan diriku.Hawa yang kusayangi, aku kau salahkan, atas kesalahan yang kau lakukan.Aku disalahkan, tidak menghulurkan tangan.Aku dipersalah, tidak mendidikmu.. ..Namun tidakkah kau terpikir wahai hawa,bagaimana buntu kami kerna ingin mendidikmu?

Dengarlah kata-kataku ini, dan sangkallah ia jika kata-kataku tidak benar. Marahku padamu kau anggap tidak menyayangi,lalu kau merajuk menjauhkan diri....
Tegurku padamu kau anggap menyibuk, mengongkong, menghalang kebebasanmu. ...
Lalu kau meninggikan suara terhadapku.. .Kasarku terhadapmu, kau anggap penganiaan kaum wanita,Lalu kau masukkan ke dalam surat khabar.....Ku tegur dengan penuh lemah lembut,kau tak dengar, kau buat main-main... Aku merajuk, kau cakap, "mengada-ngada, buat tu salah, buat ni salah, abg kurung ajelah syg kat dalam botol, baru puas hati abg"

Wahai Hawa yang kuhargai....
Bagaimana lagi harus kami lakukan?Bila kami berbuat baik, langsung tidak terlihat
pada matamu,Pabila kami berbuat jahat, cepat saja dikau copy and paste....
Jika ingin kami bimbing dirimu sepertimana Rasul Allah S.W.T membimbing para isterinya, mahukah kamu mengikuti kami?Mahukah kamu mengorbankan dirimu demi kami? Mahukah kamu mengorbankan kebebasan dirimu?

Hawa yang kuhormati...
Janganlah terusan membebani kami, dengan kedegilanmu. .. dengan keegoanmu, kesombonganmu, dengan keangkuhanmu apabila dirimu kau anggap berilmu.

Sesungguhnya Hawa,
Kami punya tubuh yang kuat,namun kami lemahkan sendi-sendi kami, kami sembunyikan kekuatan kami,Sesungguhnya Hawa, Kami punya suara yang kasar, amarah yang kuat, namun kami lembutkan suara kami, kami sabar dengan amarah kami.Tidakkah kau terpikir mengapa? Tidakkah kau hairan dengan layanan kami terhadap kamu? Tidakkah kau pelik, harimau yang mengganas dimedan perang, jinak bila berada dipangkuan kamu? Fikirkanlah mengapa...

Dapat jawapannya?
Dapatkah kau lihat bagaimana baiknya layanan kami terhadap kamu?
Sekarang sudahkah kamu lihat apa yang boleh kau pelajari dari kami?
Sudahkah kau lihat bagaimana kami cuba mendidikmu?
Namun sukar untuk kamu faham wahai Hawa yang kusayangi... .
Kerana jarang sekali kau memerhati, Kebaikan diri kami, jarang sekali kau sedar, Betapa berhati-hatinya kami cuba mendidikmu, tanpa menyinggung dirimu, tanpa menyakitimu. .. tanpa melukakan hati Hawa yang kami cintai....

SURAT HAWA KEPADA ADAM

Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa,
temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia,
kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya.
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku, bukan kerana sedikitnya
bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi.....aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun.....terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara.

Adam,
Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Allah swt jua. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi......realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam.....
mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku?

Adam.....
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung!
Kenapa? Mengapa begitu ADAM? ! Ramai orang berkata jika anak jahat emak
bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini.

Adam,
seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam....
Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku...akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam,pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa dan lalai, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah sejati...... .

Saturday, October 3, 2009

Panduan dan amalan bagi orang yang bertaubat


Imam Ghazali berkata: Jika seseorang yang bertaubat melakukan sesuatu perbuatan dosa, sama ada dilakukan dengan sengaja kerana dorongan syahwat atau dilakukan tanpa disengajakan, maka wajib baginya segera bertaubat, menyesali perbuatan tersebut dan berusaha menghapuskannya dengan melakukan kebaikan.

Seandainya jiwanya tidak membantunya untuk berazam meninggalkan perbuatan tersebut disebabkan penguasaan syahwat, maka yang demikian bererti bahawa ia telah lemah daripada melakukan salah satu daripada dua kewajiban.

Dengan demikian, tidak sepatutnya baginya meninggalkan kewajiban yang kedua, iaitu menghapuskan keburukan tersebut dengan melakukan kebaikan, yang dengannya ia telah menjadi orang yang melakukan amalan yang baik sebagai tampalan bagi amalan lain yang buruk.

Amalan-amalan baik yang dapat menghapuskan amalan-amalan buruk, sama ada dengan hati, dengan lidah atau pun dengan anggota badan. Dan hendaklah kebaikan tersebut pada tempat keburukan, dan pada yang berkaitan dengan sebab-sebabnya.

Amalan dengan hati, iaitu dengan memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar Allah SWT mengampuni dan memaafkan, dengan penuh kerendahan hati, menghinakan diri seperti hinanya seorang hamba yang melarikan diri dengan menzahirkan kehinaan terhadap seluruh hamba Allah, iaitu dengan mengurangi kesombongannya dalam berhubungan dengan mereka, menyembunyikan kebaikan kepada sesama orang Islam dan berazam untuk taat.

Amalan dengan lisan iaitu dengan mengakui kezaliman (Kesalahan melakukan ma'siat) dengan membaca:

"Wahai Tuhanku, aku telah menzalimi diriku sendiri dan telah melakukan keburukan, maka ampunilah bagiku segala dosaku."

Di samping itu hendaklah beristighfar dengan membanyakkan pelbagai istighfar. Amalan dengan anggota badan pula adalah dengan melakukan ketaatan, membanyakkan bersedekah dan menekunkan diri dengan ibadat.

Di dalam athar, ada yang menunjukkan bahawa perbuatan dosa, jika diikuti oleh lapan perbuatan baik, maka harapan untuk dimaafkan adalah cerah, iaitu empat amalan hati dan empat amalan anggota badan.

Perbuatan yang merupakan amalan hati ialah:

Pertama: Bertaubat atau azam untuk bertaubat;

Kedua: Suka meninggalkan dosa;

Ketiga: Takutkan seksaan ke atas dirinya; dan

Keempat: Mengharapkan keampunan baginya.

Adapun yang merupakan amalan anggota badan ialah:

Pertama: Solat dua rakaat selepas melakukan dosa.

Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Bakr al-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata:

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang hamba melakukan perbuatan dosa, kemudian ia mengelokkan wudu dan solat dua rakaat, kemudian meminta keampunan kepada Allah, melainkan Allah pasti akan mengampuni baginya, kemudian baginda SAW membaca ayat (Apabila mereka melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri mereka sendiri, mereka mengingat Allah... dan seterusnya)" .

Dalam riwayat Ibnu Murdawaihi dalam Tafsir dan Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman daripada hadis Ibnu Abbas r.a. pula mengatakan empat rakaat.

Kedua: selepas solat hendaklah membaca istighfar tujuhpuluh kali, kemudian membaca sebanyak seratus kali:

"Maha Suci Allah Yang Maha Agung dengan segala pujian bagiNya"

Ketiga: bersedekah; dan

Keempat: berpuasa sehari.

Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas'ud r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya telah menggauli seorang perempuan di hujung kota Madinah, dan saya telah melakukan terhadapnya selain menyetubuhinya. Inilah saya, hukumlah ke atas diri saya apa yang Tuan hamba kehendaki.

Umar berkata kepadanya: Allah telah menutupi anda, jika anda menutupi diri anda sendiri.

Ia (Abdullah Bin Mas'ud) berkata: Nabi SAW tidak menjawab sesuatu, maka orang itu pun berdiri dan pergi. Nabi SAW menyuruh seseorang mengikutinya dan memanggilnya, dan membacakan kepadanya ayat ini(Tegakkanlah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan. Yang demikian sebagai ingatan bagi orang-orang yang mahu beringat).

Maka salah seorang telah bertanya: Wahai Nabi Allah, adakah ini khusus baginya?

Baginda menjawab: "Bahkan bagi semua manusia."

Tirmizi dan Ahmad meriwayatkan daripada Mu'az Bin Jabal r.a. bahawa beliau berkata:

"Seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, apa kata tuan hamba mengenai seorang lelaki yang telah menemui seorang perempuan yang tidak dikenalinya, kemudian tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap isterinya melainkan ia melakukannya terhadapnya, hanya sahaja ia tidak menjimaknya? "

Beliau (Mu'az) berkata: Maka Allah Azza Wa Jalla telah menurunkan ayat yang bermaksud(Tegakkanl ah solat pada dua tepian siang dan pada waktu mendekati malam. Sesungguhnya kebaikan menghapuskan kejahatan).

Beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Berwudu'lah, kemudian solat. Mu'az berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah, adakah ia khusus baginya atau bagi kaum mukminin umumnya?"

Baginda bersabda: Bahkan bagi kaum mukminin umumnya".

Hadis tersebut menunjukkan bahawa menggauli perempuan, selain zina, termasuk dosa kecil yang terhapus oleh amal kebajikan..

Muslim dan Ahmad meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Solat yang lima waktu, Jumaat ke Jumaat dan Ramadhan ke Ramadhan menghapuskan dosa-dosa yang dilakukan di antara waktu-waktu tersebut, selama dihindari dosa-dosa besar".

Dalam keadaan bagaimanapun seseorang yang bertaubat mestilah menghisab dirinya setiap hari dan berusaha menghapuskan setiap dosa dengan hasanat.

Mengenai istighfar, bukanlah istighfar yang hanya dengan lisan, yang dianggap oleh sebahagian ulama sebagai taubat al-kadzdzabin (taubatnya para pendusta), yang berhajat kepada istighfar yang banyak, sebagaimana dikatakan oleh Rabi'at al-Adawiyah.

Tetapi yang dimaksud adalah istighfar yang disertai kesungguhan hati memohon keampunan kepada Allah SWT dengan merendahkan diri, dengan niat yang ikhlas dan keinginan yang benar.

Istighfar yang demikianlah yang boleh menghapus dosa kejahatan, dan istighfar itu pula yang dimaksud dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abi Bakar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

"Tidaklah dianggap sebagai orang yang berketetapan hati untuk terus mengerjakan (ma'siat) orang yang beristighfar, meskipun ia mengulangi dalam sehari tujuh puluh kali.

Tetapi, menurut pandangan Imam Ghazali, istighfar dengan lisan juga merupakan kebaikan, kerana gerakan lisan dengan istighfar, walaupun dengan kelalaian hati,adalah lebih baik daripada gerakan lisan dengan mengumpat atau bercakap lebih, bahkan baik daripada diam.Ia dianggap kurang jika dibandingkan dengan amalan hati.

Ketika seseorang berkata kepada gurunya, Syaikh Abi Uthman Al-Maghrabi: Lidahku sering berzikir dan membaca Qur'an, sedang hatiku dalam keadaan lalai.

Beliau menjawab: Bersyukurlah anda kepada Allah, kerana Allah menggunakan salah satu anggota anda dalam kebaikan dan membiasakannya berzikir, dan tidak menggunakannya dalam keburukan dan tidak membiasakannya dalam bercakap lebih.

Imam Ghazali menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh beliau adalah benar. Sesungguhnya membiasakan anggota-anggota badan dalam kebaikan sehingga menjadi seperti tabiat baginya boleh mencegah sejumlah ma'siat.

Orang yang membiasakan lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang maka lidahnya beristighfar, apabila mendengar kedustaan daripada seseorang, maka lidahnya akan segera mengatakan: AstaghfiruLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Alangkah bodohnya anda, alangkah buruknya kedustaan anda.

Orang yang membiasakan isti'adzah, apabila diceritakan tentang kemunculan gejala-gejala buruk daripada seorang yang jahat, lidahnya akan segera mengatakan: Na'udzu biLlah.

Tetapi orang yang membiasakan cakap lebih, lidahnya akan segera mengatakan: Semoga Allah melaknatnya.

Antara kedua ucapan tersebut terdapat perbezaan. Yang pertama memperoleh kebaikan sebagai kesan membiasakan lidahnya dalam kebaikan, sedang yang kedua sebaliknya.

Mengenai ucapan Rabi'at al-Adawiyah bahawa istighfar kami berhajat kepada istighfar yang banyak, janganlah disangka bahawa beliau mencela gerakan lisan dari segi bahawa ia adalah dzikruLlah, tetapi beliau mencela kelalaian hati, dan kelalaian hati inilah yang berhajat kepada istighfar yang banyak. Kerana, seandainya lidahnya diam, maka ia berhajat kepada lebih banyak istighfar lagi.